Kursus Pendekatan Adaptif Kawasan Lapang dalam Pengurusan Kawasan Bencana
Pusat Pengajian Pengurusan Landskap, Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) telah menganjurkan Kursus Pendekatan Adaptif Kawasan Lapang Dalam Pengurusan Kawasan Bencana pada 19 Mac 2025 yang lalu. Kursus ini telah dijalankan secara ’online’ dan dihadiri oleh kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan berkaitan dari seluruh negara.
Kursus yang terbahagi kepada dua sesi ini telah menjemput:
1. Encik Nasir bin Mohamed, Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Landskap, Jabatan Landskap Negara, dan;
2. Prof. Madya Dr. Suhardi bin Maulan dari Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kursus ini diadakan bertujuan mendedahkan kepada para peserta kepada strategi yang diambil untuk menyesuaikan dan mengubahsuai penggunaan ruang luar atau kawasan lapang agar ia dapat bertindak dengan lebih efektif dalam menghadapi ancaman bencana. Pendekatan ini penting kerana kawasan lapang seperti taman, padang, dan ruang terbuka sering kali menjadi tempat perlindungan sementara, kawasan evakuasi, atau bahkan tempat untuk pemulihan selepas bencana berlaku. Ia berkait rapat dengan perubahan iklim dan peningkatan kekerapan serta keterukan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, dan ribut. Oleh itu, penyesuaian terhadap struktur dan penggunaan kawasan lapang perlu dilakukan agar lebih tahan terhadap bencana, lebih mudah diakses oleh masyarakat, dan lebih efisien dalam memberikan bantuan semasa dan selepas bencana.
Kursus dijalankan secara atas talian (Zoom Meeting) dimana objektif utama pelaksanaan kursus ini adalah untuk menekankan keupayaan untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa untuk menangani pelbagai cabaran yang timbul akibat bencana termasuk Meningkatkan Keupayaan Tindak Balas, Menjamin Keselamatan dan Kesejahteraan, Mengurangkan Risiko dan Kerugian, Peningkatan Kesedaran Komuniti dan Pemeliharaan Alam Sekitar.

