Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan/Maklum Balas
Peta Laman

Mesyuarat Lembaga Penasihat I-KPKT Bil. 1/2026

Mesyuarat Lembaga Penasihat I-KPKT Bil. 1/2026

YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bilangan 1/ 2026 pada 14 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Berlian, KPKT. Mesyuarat strategik ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Ketua-Ketua Pengarah Jabatan (JKT, JPN, JPSPN, JLN), wakil INTAN serta Dekan SOG UUM dan pegawai-pegawai kanan KPKT bagi membincangkan hala tuju latihan dan pemerkasaan modal insan sektor perumahan serta kerajaan tempatan.

Antara intipati utama mesyuarat adalah pembentangan prestasi cemerlang I-KPKT bagi tahun 2025 yang merekodkan lonjakan penyertaan melebihi 100% dengan kehadiran 10,676 peserta, serta kejayaan penyiapan projek landskap persekitaran I-KPKT dengan kerjasama JLN. Selain itu, mesyuarat turut menyentuh pelaksanaan program Solid Waste Management Intellectual Course (SOSMIC), sebuah program berimpak tinggi di I-KPKT yang dijadualkan bermula Februari 2026. Program ini dirangka khusus bagi mendokong agenda Reformasi Pembersihan Awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Bagi tahun 2026, perancangan latihan telah diperkemas dengan mengintegrasikan maklum balas daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan kompetensi semasa PBT, sekali gus memastikan I-KPKT terus berada di landasan yang tepat untuk memacu kecemerlangan organisasi.