Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan/Maklum Balas
Peta Laman

Semarak Merdeka & Kelestarian Alam: Warga I-KPKT Jayakan Program Kembara Merdeka ke Cameron Highlands

Semarak Merdeka & Kelestarian Alam: Warga I-KPKT Jayakan Program Kembara Merdeka ke Cameron Highlands

Sempena menyemarakkan lagi bulan kebangsaan, Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) telah menganjurkan Program Kembara Merdeka I-KPKT ke Cameron Highlands pada 27 hingga 28 Ogos 2026. Program dua hari satu malam ini menggabungkan aktiviti konvoi patriotik serta pemeliharaan alam sekitar bersama warga kerja I-KPKT.

Konvoi Semangat Patriotik

Perjalanan kembara bermula pada Khamis, 27 Ogos 2026, dengan sesi pelepasan (flag-off) konvoi bertempat di Lobi Blok A, I-KPKT pada jam 10.00 pagi. Konvoi kenderaan warga kerja I-KPKT bergerak secara teratur menuju ke destinasi penginapan di Heritage Hotel Cameron Highlands, Pahang.

Aktiviti Plogging di Dataran Brinchang

Pada hari kedua, 28 Ogos 2026, fokus program tertumpu kepada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi plogging (kutipan sampah sambil berjoging/berjalan) di Dataran Brinchang dan kawasan sekitarnya. Bermula jam 9.00 pagi selepas sesi taklimat keselamatan dan pembersihan, para peserta berbaju rasmi I-KPKT berganding bahu membersihkan kawasan tumpuan awam tersebut. Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama warga kerja, malah memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan peranginan negara.