Martabatkan Bahasa Kebangsaan: Warga I-KPKT Lakarkan Sejarah dalam Malaysia Book of Records Penggunaan Kamus Dewan Perdana Serentak Terbesar
Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) melakar sejarah tersendiri apabila turut serta menjayakan inisiatif pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Penyertaan Terbesar dalam Program Rujukan Kamus” (Largest Simultaneous Use of Kamus Dewan Perdana) bersempena dengan Program Serambi Budi Daya Munsyi Muda Bahasa Tahun 2026 pada 26 Oktober 2026 yang lalu.

Inisiatif berskala nasional anjuran bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dilaksanakan secara dalam talian dengan menghimpunkan penyertaan seramai 2,345 orang, merangkumi 2,106 orang peserta dan 239 orang fasilitator Munsyi Muda Bahasa dari pelbagai kementerian serta jabatan perkhidmatan awam di seluruh negara.
Kepimpinan Fasilitator dan Penglibatan Aktif Warga I-KPKT
I-KPKT berbangga dengan penglibatan Ketua Pusat Pengajian Pemahaman Perundangan dan Penguatkuasaan I-KPKT, Encik Muhamad Aiman bin Maarof, yang menggalas tanggungjawab sebagai fasilitator Munsyi Muda Bahasa bagi membimbing bilik maya kumpulan peserta I-KPKT sepanjang program berlangsung.

Sepanjang sesi yang berjalan dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari tersebut, para pegawai I-KPKT menunjukkan komitmen tinggi dengan memaparkan bukti carian kosa kata secara langsung menerusi aplikasi Kamus Dewan Perdana digital bagi perkataan yang ditetapkan seperti Inayat, Kendatipun, dan Jubli di skrin masing-masing.

Memperkasa Budaya Rujukan Bahasa Rasmi Kerajaan
Pencapaian bersejarah ini dimeterai secara rasmi melalui penyerahan sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records pada 28 Oktober 2026 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan penganjuran rekod tersebut.
Inisiatif ini bukan sahaja mencatatkan rekod baharu negara, malah berfungsi memperkukuh amalan merujuk kamus berwibawa dalam kalangan penjawat awam. Usaha berterusan ini berupaya memelihara ketepatan bahasa, istilah perundangan, dan tatabahasa Melayu dalam urusan pentadbiran rasmi perkhidmatan kerajaan.

