Pusat Pengajian Pengurusan Perumahan

PENGENALAN

Pusat Pengajian Pengurusan Perumahan menyediakan latihan kepada Pegawai dan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan berkaitan hal ehwal pengurusan perumahan, termasuk Pengurusan Perumahan Rakyat (PPR), pengurusan perumahan strata, isu-isu perumahan mampu milik, dan aspek teknikal serta pengurusan kewangan berkaitan perumahan. Pusat pengajian ini menyediakan latihan secara teori dan praktikal berlandaskan hasrat menjadikan peserta yang hadir dari setiap agensi dapat mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi untuk diaplikasikan di agensi masing-masing. Modul yang dicerapkan adalah berlandaskan kepada tugas hakiki pegawai yang berkaitan dengan bidang pengurusan perumahan selari dengan perkembangan semasa isu perumahan yang kian kompleks dan dinamik, termasuk pemantauan dan penggubalan dasar berkaitan perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pendedahan teori dan sesi hands-on pengurusan perumahan boleh meningkatkan lagi kualiti dan perkhidmatan perumahan selari dengan keperluan semasa dan dasar yang ditetapkan oleh KPKT, termasuk Akta Pemajuan Perumahan 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).


OBJEKTIF

Pusat Pengajian Pengurusan Perumahan merupakan pusat pengajian yang penting kerana salah satu fungsi mandatori Pihak Berkuasa Tempatan adalah penyeliaan, penguatkuasaan, dan pengurusan isu perumahan di peringkat tempatan. Pusat ini akan memberi peluang kepada kakitangan PBT dan lain-lain agensi kerajaan yang menjalankan tugas-tugas pengurusan perumahan untuk memahami proses, prosedur, dan tatacara pengurusan perumahan selaras dengan dasar dan perundangan yang digubal dan dikawal selia di bawah KPKT.

Secara amnya, pusat ini akan mengendalikan latihan berlandaskan fungsi-fungsi utama KPKT dalam kluster perumahan, termasuk:

  1. Pengurusan Strata (Akta 757, fungsi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT)
  2. Pengurusan dan Penyenggaraan Perumahan Program Perumahan Rakyat (perancangan dan pelaksanaan projek PPR serta prosedur penyenggaraan PPR)
  3. Pemahaman dan Pelaksanaan Dasar Perumahan (Penganalisisan dan implementasi Dasar Perumahan Negara (DRN) dan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) untuk penyelarasan di peringkat PBT.)
  4. Perundangan dan Pematuhan Perumahan (penguatkuasaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan undang-undang berkaitan, bagi meningkatkan pematuhan dan melindungi hak pembeli rumah)
  5. Penggunaan Data dan Sistem Perumahan (Sistem Bank Data Perumahan Negara (TEDUH) dan Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN), HIMS)

Lihat Takwim