Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah salah satu agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan status adalah setaraf dengan Jabatan/bahagian di Kementerian. Penubuhan Institut ini telah dipersetujui oleh Kerajaan pada Januari 2008 dengan cadangan penempatan 10 orang kakitangan Pasukan Teras.
Secara amnya, core business Institut ialah menyediakan latihan kepada Pegawai/Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan. Manakala dalam jangka masa panjang, Institut akan berperanan sebagai pusat pengumpulan maklumat, Pusat Rujukan (referral center) dan Khidmat Nasihat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (dalam bidang teknologi, perkembangan produk dan perkhidmatan, pengubalan dasar, perancangan dan pelaksanaan program / projek).
Pelanggan utama Institut ialah semua anggota kerja Pihak Berkuasa Tempatan. Manakala pelanggan sokongan ialah jabatan teknikal yang terlibat secara langsung dalam pembangunan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, Pertubuhan Profesional (seperti Jururancang Bandar, Arkitek, Jurutera, Arkitek Landskap dan lain-lain), Pertubuhan Bukan Kerajaan, pemaju perumahan dan semua badan yang terlibat dalam pembangunan penempatan manusia dan perumahan.
Tujuan Penubuhan
Penubuhan Institut ini bertujuan untuk:
Memberi kefahaman terhadap dasar-dasar semasa kerajaan yang secara langsung menyentuh pembangunan penempatan manusia dan kerajaan tempatan seperti Dasar Perbandaran Negara, Dasar Perumahan Negara, Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan lain-lain.
Memberi kefahaman terhadap undang-undang dan kaedah penguatkuasaan akta dan garis panduan yang berkait dengan Pihak Berkuasa Tempatan seperti berikut:
- Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
- Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
- Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1984 (Akta 133).
- Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).
- Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.
- Garis panduan Perancangan Bandar, Landskap dan Perumahan.